Titah Ucapan
TITAH UCAPAN D.Y.M.M. TUANKU PEMANGKU RAJA PERLIS
DI MAJLIS PENGANUGERAHAN DARJAH KEBESARAN DAN PINGAT
SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN YANG KE-63 D.Y.M.M. TUANKU RAJA PERLIS
DI ISTANA ARAU 17 MEI 2006
ismillahirahmanirahim,
Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Pagi,
Segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Sallallahhu'alaihi wassalam serta keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.
2. Alhamdulillah, Saya mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, kita semua dapat bersama-sama berkumpul di Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Yang Ke-63, Seri Paduka Ayahanda Saya, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja bagi Negeri Perlis.
Saya juga ingin menyempurnakan titah Seri Paduka Ayahanda dan Seri Paduka Bonda Saya, bagi menyampaikan salam Baginda berdua kepada semua hadirin. InsyaAllah, Baginda berdua akan berangkat balik ke Negeri Perlis yang tersayang esok.
Hadirin sekalian,
3. Di awal kata, Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Mulia Paduka Ayahanda Tengku Syarif Temenggung Perlis yang mewakili seluruh Kerabat dan Usrah DiRaja serta Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim, yang mewakili seluruh rakyat Negeri Perlis, di atas ucapan dan ikrar taat setia yang telah dilafazkan sebentar tadi. Sesungguhnya, dengan kesatuan lafaz taat setia, janji kata sepakat serta sokongan bersepadu dari semua peringkat dan lapisan masyarakat, Saya yakin dan percaya bahawa Negeri Perlis akan terus kekal maju, aman, makmur dan sejahtera hendaknya.
4. Saya dan Raja Puan Muda Perlis serta Kerabat-kerabat DiRaja sekalian juga berterima kasih di atas keikhlasan doa seluruh rakyat negeri ini yang sentiasa mendoakan agar Allah Subhanahu wa Ta'ala mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Seri Paduka Ayahanda dan Seri Paduka Bonda Saya. Mudah-mudahan berkat keikhlasan doa rakyat sekalian, Seri Paduka Ayahanda dan Seri Paduka Bonda Saya akan dapat terus bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perlis dengan penuh daulat dan berkat.
Hadirin sekalian,
5. Hambatan masa berlaku begitu pantas dan tahun ini adalah merupakan tahun terakhir bagi Saya memangku jawatan Raja Perlis.
Mengimbas kembali selama hampir lima tahun Saya menjadi Pemangku Raja Perlis dan berdasarkan tema titah ucapan Saya pada tahun 2002 hingga 2005 di majlis yang sama, di mana Saya telah menekankan kepentingan Perlis sebagai Negeri Ilmu, kecemerlangan sukan, pelancongan, penjanaan ekonomi serta pengurusan kewangan dan prasyarat menjadi negeri maju. Saya bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala serta merasa gembira dan amat berterima kasih kerana segala cadangan dan saranan Saya telah dapat dilaksanakan dengan sungguh baik dan berkesan oleh Kerajaan dan rakyat Seri Paduka Ayahanda Saya.
Di samping itu, berbagai peristiwa turut mewarnai tempoh masa lima tahun tersebut.
6. Antara lain, ada beberapa kejayaan manis yang telah ditempa oleh Negeri Perlis yang tidak dapat Saya lupakan seperti:
-
Dalam sukan bolasepak, Perlis menjadi Juara Piala Malaysia 2004, dan naib juara tahun lalu setelah menunggu selama 83 tahun, juara Liga Super 2005 dan naib Johan Piala FA 2003. Pada tanggal 20 Mei ini kita sekali lagi ke perlawanan akhir Piala FA.
-
Dalam sukan badminton pula kita menjadi johan Piala Emas Raja-raja Melayu buat julung kalinya.
-
Qari Negeri Perlis menjadi Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2005.
-
Dan Pelajar Negeri Perlis, menjadi Johan Pidato Piala DiRaja Peringkat Kebangsaan 2005 serta lain-lain lagi.
7. Saya ingin mengucapkan syabas kepada mereka dan kekalkanlah semangat 'Perlis Boleh' ini untuk terus mencipta lagi kegemilangan yang akan datang dalam, bukan sahaja bidang sukan tetapi juga bidang lain yang kita mempunyai kekuatan. Ini boleh dijadikan iktibar dan peransang kepada rakyat Perlis selainnya bahawa kita boleh berjaya dalam apa juga bidang yang kita ceburi jika kita lakukan dengan bersungguh-sungguh dengan semangat cintakan negeri atau dengan erti kata lain sudah sampai masanya kita menerajui dan tidak lagi mengekori dari belakang. Sukan dan aktiviti sosial juga boleh digunakan sebagai landasan untuk mengharumkan nama Perlis di mata dunia. Elakkanlah semangat ' hangat-hangat tahi ayam ' dan persiapan hanya di saat terakhir atau ' last minute ' dalam apa juga tindakan yang kita lakukan. Insyaallah kita akan sama-sama berjaya.
8. Walaupun kita telah merasa banyak kejayaan manis di tahun-tahun yang lepas, peristiwa pahit juga tidak dapat kita lupakan. Antara yang masih berada dalam ingatan kita ialah kejadian kebakaran besar di Kuala Perlis dan fenomena ombak besar Tsunami yang dirasai di beberapa kawasan pantai di Negeri ini pada tahun 2004. Begitu juga kejadian banjir besar pada hujung tahun 2005 yang tidak diduga. Namun demikian, atas kerjasama erat antara Kerajaan Seri Paduka Ayahanda Saya, Badan-Badan Bukan Kerajaan serta rakyat sekalian, mangsa-mangsa yang terlibat telah dapat diberi bantuan sewajarnya.
9. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana di bawah kepimpinannya yang begitu komited dan prihatin; segala masalah dapat diatasi dengan cemerlang bersama dengan pasukan sokongannya. Kemajuan, kemakmuran dan keamanan negeri dapat terus dikekal dan dipertingkatkan walau pun menghadapi beberapa rintangan dan kekangan. Saya penuh yakin di bawah pimpinan beliau negeri ini akan terus mantap.
Hadirin sekalian,
10. Tahun ini merupakan tahun permulaan bagi Rancangan Malaysia Ke-9. Ini bermakna kita sedang menghadapi satu era baru dalam proses pembangunan negeri dan negara. Secara keseluruhannya, Saya berpuas hati dengan kemajuan yang telah dicapai oleh Negeri Perlis dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-8. Walaupun begitu, ada beberapa aspek yang perlu dibawa ke Rancangan Malaysia Ke-9 untuk dibuat penambahbaikan.
Saya suka mengingatkan bahawa bagi mencapai visi murni Kerajaan Seri Paduka Ayahanda Saya untuk Perlis Maju, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang Tahun 2015, Rancangan Malaysia Ke-9 bagi Negeri Perlis semua peringkat hendaklah turut memberi fokus kepada aspek-aspek berikut:
Pertama
Memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan yang merupakan pemangkin kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negeri.
Kedua
Memberi penekanan kepada penggunaan teknologi tinggi dan kaedah agronomi yang terbaik dalam pembangunan sektor pertanian di peringkat primer dan sekunder.
Ketiga
Menggalakan pembangunan industri hiliran kecil dan sederhana, terutamanya di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, yang dapat meningkatkan nilai ditambah dan produktiviti yang tinggi kepada hasil dan bahan keluaran tempatan bagi memperkasakan daya saing negeri di peringkat global serta berusaha mencari pasaran bagi produk-produk tersebut.
Keempat
Menggalakkan pertumbuhan sektor ketiga iaitu perkhidmatan khususnya dalam aktiviti penyelenggaraan prasarana awam, bangunan, dan persekitaran termasuk tempat-tempat tarikan pelancong.
Kelima
Menggalakkan penyertaan rakyat dalam pendidikan tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan konsep Perlis sebagai Negeri Ilmu.
Keenam
Menggalakkan kepelbagaian serta pengkomersialan produk-produk tempatan seperti Harumanis, tanaman anggur dan herba serta hasil penyelidikan dan pembangunan atau R&D berasaskan sumber-sumber tempatan.
Ketujuh
Menggalakkan dan melaksanakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yakni ICT di jabatan kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Kelapan
Menekankan kepada kepentingan pentadbiran dan pengurusan kewangan negeri dengan objektif untuk mencapai kecemerlangan jentera pentadbiran kerajaan.
Kesembilan
Memperbanyakkan aktiviti berbentuk kursus peningkatan latihan dan latihan semula dalam usaha untuk membina kekuatan dan keupayaan rakyat Perlis dalam menghadapi era persaingan yang makin sengit.
Kesepuluh
Membangunkan Kerangka Pelan Tindakan yang memuatkan Indikator Perlis Maju 2015 yang komprehensif sebagai penanda aras pencapaian aspirasi dan visi negeri.
Kesebelas
Bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan dan luar negara untuk pembangunan sektor ekonomi dan sosial.
Keduabelas
Menjadi destinasi pelancongan yang makin gah di negara ini kerana Negeri Perlis merupakan pintu mula masuk atau "Gateway" utama jalan darat di utara Malaysia melalui konsep Malaysia Bermula Di Perlis atau
dalam Bahasa Inggerísnya bermaksud, "Perlis is Where Malaysia Begins".
Ketigabelas
Mewujudkan pusat rekreasi dan riadah yang lebih banyak dan lebih kondusif untuk semua lapisan masyarakat.
Keempat belas
Menerokai bidang-bidang pertumbuhan baru seperti akuakultur, tanaman bernilai tinggi, pusat tukar barang dan industri logistik di kawasan sempadan.
Hadirin sekalian,
11. Rancangan Malaysia Ke-9 merupakan sebahagian daripada Rancangan Lima Tahun ketiga terakhir kerajaan dalam usaha untuk mencapai kemajuan fizikal dan ekonomi kelas pertama untuk rakyat menjelang tahun 2020. Namun demikian, apalah ertinya kemajuan fizikal dan ekonomi kelas pertama kalau rakyat masih lagi mempunyai minda atau mindset kelas ketiga. Contohnya, ramai di antara kita yang tidak dapat menghayati erti kebersihan alam sekitar, tidak sayang harta awam, tidak berdisiplin dan terlibat dalam kegiatan tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, penderaan, perlumbaan haram dan keganasan sosial. Dalam konteks sebagai sebuah negeri yang berteraskan ilmu, Perlis mampu menjadi pemangkin kepada kesedaran sivik dan pembinaan budaya minda kelas pertama di negara ini.
Wujudnya portfolio minda Kelas Pertama di dalam EXCO Kewangan Negeri baru-baru ini sememangnya amat bertepatan sekali masanya.
12. Pada hemat Saya, Pencapaian minda kelas pertama turut boleh dilakukan oleh semua melalui tindakan-tindakan seperti berikut:
Pertama
Menanam sikap sayangkan harta benda awam di kalangan masyarakat bermula di peringkat sekolah hingga di peringkat atasan.
Kedua
Menerapkan semangat cintakan alam sekitar dan kualiti kebersihan yang bermutu melalui kempen-kempen kesedaran di semua peringkat.
Ketiga
Penglibatan kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan rakyat dalam pembangunan kesedaran sivik.
Keempat
Menggalakkan rakyat menyertai Badan-badan Bukan Kerajaan atau NGO yang berusaha ke arah pembentukan moral dan etika yang tinggi.
Kelima
Menggalakkan rakyat menyertai kumpulan-kumpulan sukarelawan yang bertindak sebagai pemangkin dalam usaha membentuk budaya sukarela di kalangan masyarakat.
Keenam
Menanam semangat tidak hipokrit, menikam dari belakang berprasangka, fitnah, cemburu, mencari kelemahan-kelemahan dan kekurangan yang remeh temeh, tohmahan tanpa usul periksa dan fakta yang tepat dan irihati di kalangan rakyat yang boleh membawa suasana berpecah belah di dalam masyarakat.
Sebaliknya sentiasalah mempunyai pemikiran positif dan sentiasa ingat bahawa sebagaimana termaktub di dalam Al-Quran satu ucapan yang baik itu adalah sedekah. Begitu juga tiap-tiap yang makruf atau kebajikan itu adalah sedekah dan sesungguhnya Allah maha melihat akan apa yang kita kerjakan.
Ketujuh
Menggalakkan rakyat menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran intelektual sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan yang sempurna.
Kelapan
Menggalakkan rakyat terus membaca kerana membaca boleh memperkayakan persepsi, pemikiran dan pengetahuan dalam konteks menguasai dunia yang sering berubah. Membaca memberi inspirasi bagi kita mewujudkan masa yang berkualiti bersama keluarga ke arah membentuk masa depan yang sihat.
Hadirin sekalian,
13. Sungguhpun Perlis adalah negeri terkecil di Malaysia ini, ia boleh menjadi negeri paling cepat mempunyai masyarakat yang berminda kelas pertama seperti Jerman di Eropah, Jepun di Asia Timur ataupun Republik Singapura, jika diambil contoh yang paling dekat. Seperti yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, pembentukkan masyarakat berminda kelas pertama perlu melalui satu proses yang berterusan. Proses ini tidak mudah kerana ia melibatkan pembangunan kesedaran oleh semua pihak. Oleh yang demikian, Saya menyeru kepada semua pihak supaya memikirkan bagaimana pengisian minda kelas pertama untuk rakyat di Negeri Perlis dapat dilaksanakan supaya kita menjadi negeri yang pertama melaksanakan program ini di semua peringkat di negeri ini. Fikirlah dan tanyalah diri kita apa yang dapat kita sumbangkan bagi mengisi proses pengisian minda kelas pertama bagi kepentingan bangsa dan tanah air yang tercinta. Adakah patut kita serahkan tugas ini di bahu kerajaan sahaja semata-mata?
Hadirin sekalian,
14. Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Seri Paduka Ayahanda Saya yang telah berusahabersungguh-sungguh untuk kemajuan negeri dan rakyat sebagaimana yang dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tadi. Walau bagaimanapun, dalam menyokong usaha-usaha kerajaan Saya ingin mengingatkan di sini bahawa mengekalkan kejayaan adalah lebih sukar dari mencapainya.
Kepada semua, Jauhilah sikap 'play safe' tidak mahu mengambil tanggungjawab, dan sekadar berpuas hati dengan apa yang ada. Sebaliknya keluarlah dari zon keselesaan itu dan selalu tanamkan sifat suka ke arah kemajuan dalam setiap aspek kehidupan kita seharian. Kehidupan hari ini haruslah lebih baik dari hari semalamnya dan hari esok lebih baik dari hari ini. Cabaran yang akan dihadapi dalam Rancangan Malaysia Ke-9 akan lebih sukar dan mencabar. Peruntukan yang besar yang disediakan hendaklah dibelanjakan dengan cermat, cekap dan berkesan supaya memberi impak yang besar kepada majoriti rakyat.
Hadirin sekalian,
15. Walau apa pun situasinya, kita mesti sama-sama sentiasa bertanya?
Bagaimanakah kita hendak menjadikan Negeri Perlis cemerlang dan terbilang setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia?
Adakah kita mempunyai strategi, keupayaan dan kebolehan, gaya dan kualiti yang dinamik beserta nilai-nilai positif yang dapat mencetuskan daya kreativiti dan inovasi untuk melonjak diri kita kehadapan?
Sesungguhnya, kita seharusnya memiliki ciri-ciri organisasi cemerlang untuk menjadi negeri yang terbilang. Justeru, sudah sampai masanya kita bangun dan bergerak secara satu pasukan yang lebih agresif berpandukan strategi dan matlamat Visi Negeri.
Hadirin sekalian,
16. Sesungguhnya, kita amat bertuah kerana Seri Paduka Ayahanda Saya akan berangkat pulang dan bersemayam kembali di atas takhta singgahsana Kerajaan Negeri Perlis di akhir tahun ini selepas menjawat jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-12. Saya percaya bahawa berkat pengalaman serta jalinan jaringan atau "networking" yang luas, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, Seri Paduka Ayahanda Saya akan dapat menggunakan pengalaman Baginda untuk ikut sama membantu dan menaungi Negeri Perlis ke tahap yang lebih tinggi. Saya melihat kehadapan dengan lebih positif kepada pemerintahan Seri Paduka Ayahanda dan Seri Paduka Bonda Saya.
Hadirin sekalian,
17. Sebelum Saya mengakhiri titah ucapan ini, Saya ingin mengambil kesempatan di sini bagi menyatakan penghargaan dan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh Kerabat dan Usrah DiRaja, Yang Amat Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat, Anggota-anggota Pekhidmatan Awam, Pasukan Keselamatan; Tentera dan Polis, Badan-badan Sukarela, Badan-badan Bukan Kerajaan, Kakitangan Istana dan rakyat Perlis keseluruhannya di atas khidmat bakti yang telah dicurahkan serta taat setia yang tidak berbelah bagi.
18. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan segala program yang telah disusun sempena sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Seri Paduka Ayahanda Saya. Terima kasih juga Saya tujukan kepada semua hadirin yang datang dari dalam dan luar negeri bagi menjayakan majlis pada pagi ini. Saya menyeru kepada seluruh rakyat Perlis supaya sama-sama mengekalkan perpaduan dan hubungan baik antara kaum dan agama kerana bersatu padu itu asas kekuatan dan kekuatan itu asas kejayaan bersama untuk negeri kita.
19. Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala moga-moga kita sentiasa diberi taufik serta hidayah dan berada di bawah perlindunganNya. Moga-moga dengan tindakan ikhlas serta gigih yang kita usahakan bersama masakini, akan dapat kita nikmati bersama hasilnya di masa hadapan, InsyaAllah.
Benih kemakmuran disemai, hasil kesejahteraan dituai.
Emas perak barang berharga
Dipakai oleh dara jelita
Maju bangsa maju negara
Rakyat bahagia negeri sejahtera
Negeri Perlis makin ternama
Tempat rakyat menumpang teduh
Kemajuan negeri kewajipan bersama
Masyarakat stabil negeri teguh
Pergi ke laut memasang pukat
Pukat dipasang dengan tangan
Kesejahteraan hidup impian masyarakat
Ilmu pengetahuan asas kecemerlangan
Burung murai terbang sekawan
Hinggap sebentar di pohon merawan
Hormat menghormati kunci perpaduan
Masyarakat teguh sepanjang zaman
Kain batik kain tenunan
Dipakai gadis waktu berkelah
Taat setia ikatan pengorbanan
Aman sentosa negeri terserlah
Sekian.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
TITAH UCAPAN D.Y.M.M. TUANKU PEMANGKU RAJA PERLIS DI MAJLIS ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN DAN PINGAT KALI KE-2 SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN YANG KE-63 D.Y.M.M. TUANKU RAJA PERLIS DI ISTANA ARAU PADA 25 MEI 2006
ismillahirahmanirahim,
Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,
Assalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Petang.
2. Alhamdulillah, Saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, dapat kita bersama-sama berkumpul untuk menyempurnakan Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Kali Kedua sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Yang Ke-63 Seri Paduka Ayahanda Saya, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis.
3. Saya ingin mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan setinggi tahniah kepada penerima-penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat pada kali ini. Sesungguhnya anugerah yang dikurniakan ini merupakan satu pengiktirafan di atas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada Negeri Perlis khasnya dan negara kita Malaysia amnya. Justeru itu, Saya amat-amat berharap agar dengan anugerah ini, para penerima sekalian akan meneruskan sumbangan bakti seikhlas mungkin demi bangsa, agama dan tanahair.
Hadirin sekalian,
4. Dalam titah ucapan pada 17hb. Mei yang lalu, Saya telah menyentuh dengan panjang lebar mengenai harapan Saya untuk negeri dan rakyat Perlis dalam aspek Rancangan Malaysia Ke-9, minda kelas pertama dan juga modal insan. Petang ini pula Saya ingin menyentuh tentang perpaduan dan masalah sosial. Sebagaimana yang mendapat liputan luas media massa, kemakmuran dan keamanan yang dinikmati oleh kita sekarang adalah salah satu nikmat Allah yang dicapai melalui perpaduan, sifat toleransi dan keharmonian hidup bermasyarakat di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan kepercayaan. Sesungguhnya perpaduan yang utuh di kalangan rakyat merupakan tonggak kepada kestabilan dan kesejahteraan negara. Melihat betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kejayaan umat dan negara, maka kita mestilah sentiasa memupuk kesedaran masyarakat supaya menghargai nilai perpaduan serta berusaha memeliharanya supaya ia hidup subur sepanjang zaman. Kedamaian dan keamanan yang kita nikmati selama ini telah banyak membawa faedah bukan sahaja kepada negara kita Malaysia, tetapi juga kepada Negeri Perlis yang amat kita cintai ini. Suasana yang kondusif ini memudahkan kita untuk merancang pembangunan demi meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat sekalian.
5. Sempena Sambutan Bulan Perpaduan 2006 Peringkat Kebangsaan yang telah dilancarkan di Negeri Perlis oleh Seri Paduka Ayahanda Saya baru-baru ini, Saya ingin menyeru seluruh rakyat agar sentiasa berfikiran terbuka dan rasional serta bertindak dengan cara-cara yang wajar dan matang agar keharmonian kaum di negara kita akan terus terpelihara. Sesuai dengan tema sambutannya iaitu "Membudayakan Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian", marilah kita terus bersatu dalam kepelbagaian kita dan janganlah hendaknya kita membiarkan sebarang perbezaan kecil yang mungkin ada di antara kita merosakkan keharmonian negara. Seluruh lapisan rakyat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab untuk memastikan negara kita terus aman dan makmur didasari dengan semangat persefahaman yang tinggi, bekerjasama dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain. Topik perpaduan juga tidak semestinya tertakluk kepada mereka yang berlainan bangsa tetapi juga sesama bangsa. Saya yakin sidang hadirin sekalian akan bersama-sama dengan Saya memainkan peranan masing-masing demi memastikan nikmat perpaduan dan keamanan ini tidak akan diganggu-gugat oleh mana-mana pihak yang berkepentingan peribadi. "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat". "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh".
Hadirin sekalian,
6. Seperkara lagi yang ingin Saya sentuh ialah perlunya kita membina ketahanan sosial sebagai benteng bagi menangkis ancaman unsur-unsur negatif untuk mempertahankan kemerdekaan yang kita nikmati sekarang. Dalam era serba mencabar sekarang dan dalam keghairahan kita mengejar kemajuan, malangnya kita terpaksa menghadapi satu senario negatif iaitu peningkatan gejala atau penyakit sosial yang berlaku di dalam masyarakat kita. Gejala rasuah, penagihan najis dadah, HIV-AIDS, keganasan rumahtangga, sumbang mahram, vandalisme, dan sebagainya adalah gejala-gejala sosial yang semakin meruntun negara pada masa ini.
7. Menyentuh mengenai penagihan dadah, di sebalik segala pendekatan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan, penagihan dadah masih lagi menjadi masalah sosial utama negara. Kita harus sama-sama mencari jalan agar tiada rakyat yang terpinggir atau ketinggalan dalam arus perdana masyarakat. Merekalah yang mudah diancam masalah sosial. Wujudnya dadah jenis baru yang direkabentuk atau 'designer drugs' yang membabitkan campuran bahan kimia pula bukan sahaja mengkhayalkan penagih tetapi mampu merosakkan otak dan seterusnya menyebabkan penagih mengalami halusinasi. Apabila ini berlaku, ia akan mendorong seseorang penagih bertindak agresif mencederakan orang lain, termasuk ahli keluarga sendiri. Tidak cukup dengan gejala dadah yang membelenggu golongan dewasa, terdapat pula gejala ketagihan menghidu gam yang semakin serius di kalangan remaja. Gejala ini mempunyai potensi untuk merebak menjadi ancaman yang menakutkan kerana sumber atau bekalannya, iaitu gam-gam di dalam tin bersaiz kecil, boleh dibeli dengan mudah dan murah tanpa sebarang kawalan, khususnya di kedai barangan pembinaan. Sesungguhnya ia merosakkan pewaris pemimpin bangsa yang kita harap-harapkan.
8. Justeru itu, Saya menggesa agar agensi-agensi yang terlibat dengan gerakan membanteras penyalahgunaan dadah supaya sentiasa proaktif dan inovatif serta berganding bahu mengambil tindakan yang bersepadu dalam menangani masalah ini, lebih-lebih lagi dalam menangani penyeludupan dan pengedaran dadah yang merupakan akar-umbi kepada masalah ini. Sesungguhnya "mencegah adalah lebih baik daripada merawat".
9. Kepada para ibu-bapa, Saya ingin menekankan agar kita mengawasi dan sentiasa mengambil tahu perkembangan dan pergaulan anak masing-masing lebih-lebih lagi di usia remaja mereka kerana di usia inilah mereka mudah terpengaruh dengan elemen-elemen luar. Berikanlah kasih sayang dan sentiasa meluangkan masa untuk mendengar rintihan atau komen anak-anak. Di sinilah juga pentingnya ibu-bapa menitik-beratkan pendidikan agama atau kerohanian kepada anak-anak, terapkan mereka dengan nilai-nilai hidup yang murni, bekalkan mereka dengan kekuatan rohani dan jati diri secukupnya seawal usia kanak-kanak lagi agar mereka dapat menangkis segala gejala negatif sebelum mereka meningkat dewasa. "Melentur buluh biarlah dari rebungnya". "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna".
10. Bagi mereka yang telah terjebak dengan gejala dadah, sokongan keluarga dan masyarakat adalah amat-amat penting dalam memastikan kejayaan proses pemulihan mereka dan dalam mereka menjalani kehidupan seterusnya. Sokongan amat diperlukan untuk membantu mempercepatkan proses pemulihan dan membolehkan bekas-bekas penagih menjalani kehidupan yang normal dan seterusnya mengelakkan mereka daripada terjerumus semula.
Hadirin dan hadirat sekalian,
11. Sebelum Saya mengakhiri titah ucapan ini, Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, dan rakyat Perlis keseluruhannya di atas segala khidmat bakti dan taat setia yang tidak berbelah bahagi.
12. Saya dan Raja Puan Muda berterima kasih kepada seluruh rakyat Perlis kerana sentiasa mendoakan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan untuk Seri Paduka Ayahanda dan Seri Paduka Bonda Saya. Semoga dengan doa ikhlas rakyat sekalian, Baginda berdua akan terus bersemayam di atas singgahsana takhta Kerajaan Negeri Perlis dengan penuh daulat dan berkat.
13. Akhir kata, marilah sama-sama kita berdoa agar Negeri Perlis dan negara Malaysia kita yang tercinta ini akan terus dirahmati Allah Subhana Wa Ta`ala dengan nikmat kemakmuran yang berkekalan, insya-Allah.
Sekian. Saya sudahi dengan Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
TITAH UCAPAN D.Y.M.M. TUANKU PEMANGKU RAJA PERLIS DI MAJLIS ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN DAN PINGAT KALI KE-3 SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN YANG KE-63 D.Y.M.M. TUANKU RAJA PERLIS DI ISTANA ARAU PADA 27 MEI 2006
ismillahirahmanirahim,
Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Petang.
2. Alhamdulillah, dengan penuh takzim, Saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, dapat kita bersama-sama hadir untuk menyempurnakan Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Kali Ke-tiga sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Yang Ke-63 Seri Paduka Ayahanda Saya, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis.
Terlebih dahulu, sebelum Saya meneruskan titah ucapan ini, Saya ingin menyempurnakan titah Seri Paduka Ayahanda dan Seri Paduka Bonda Saya untuk menyampaikan salam Baginda berdua kepada semua hadirin.
Hadirin sekalian,
3. Saya sesungguhnya amat berbangga kerana di atas inisiatif Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Negeri Perlis makin membangun seiring dengan pembangunan pesat negara. Kita dapat lihat program dan projek pembangunan rancak dijalankan dan bakal mengubah wajah dan lanskap pembangunan negeri bagi mencapai Visi Perlis Maju 2015 dan Wawasan 2020 Negara.
Hadirin sekalian,
Pada 17hb. Mei yang lalu dalam titah ucapan, Saya telah menjelaskan dengan panjang lebar harapan Saya mengenai Rancangan Malaysia Yang Ke 9, modal insan dan minda kelas pertama untuk rakyat negeri ini. Manakala pada 25hb. yang lalu Saya bertitah mengenai perpaduan dan masalah sosial. Justeru itu, pada hari ini Saya ingin menyentuh pula mengenai penjagaan alam sekitar negeri ini.
4. Khazanah sebenar sesebuah negara selain daripada penduduknya ialah sumber alamnya sama ada hutan belantara, bukit-bukau, sungai dan termasuklah juga udaranya. Kekayaan sumber alam ini, lazimnya tidak pernah diambil perhatian sehinggalah apabila ia telah rosak ataupun sudah tiada langsung buat selama-lamanya. Dalam hal ini, Perlis sebagai sebuah negeri kecil boleh menjadi negeri contoh dalam aspek penjagaan alam sekitar sekiranya satu program yang komprehensif dirancang secara teliti dengan penglibatan semua peringkat sama ada pihak kerajaan, sektor swasta mahupun penduduk setempat secara bersepadu.
Sebelum program pemuliharaan alam sekitar dilaksanakan, Saya ingin mencadangkan supaya pihak kerajaan negeri terlebih dahulu melakukan kajian terperinci atau audit terhadap semua sumber alam di Negeri Perlis.
Langkah ini perlu bagi mengetahui kedudukan masakini semua sumber alam negeri ini baik dari segi kuantiti mahupun kualitinya. Melalui proses pengauditan barulah Kerajaan Seri Paduka Ayahanda Saya akan mendapat maklumat yang tepat dan boleh mengambil tindakan melaksanakan program-program pemuliharaan alam sekitar yang betul.
Hadirin sekalian,
5. Bagi melaksanakan program pemuliharaan alam sekitar, sektor swasta dan penduduk setempat perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu pihak kerajaan.
Sektor swasta terutamanya yang berteraskan industri pembuatan hendaklah sentiasa perlu melaksana dan memenuhi semua piawaian yang berkaitan dengan alam sekitar yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, baik dari segi peraturan bagi menghindarkan dari pencemaran sisa buangan, air, udara mahupun bunyi.
6. Rakyat pula, bermula dari institusi keluarga perlu menanam sikap sayang kepada alam sekitar dan akan menjadi rasa bersalah apabila merosakkannya. Sesungguhnya, sumber alam yang baik pada hari ini adalah satu-satunya harta warisan yang paling bernilai yang boleh kita tinggalkan kepada generasi akan datang. Ia juga boleh menjadi daya tarikan pelancong dan sumber ekonomi negara seperti di negara-negara maju.
7. Kebersihan alam sekitar melambangkan kebersihan hati dan diri rakyat serta individu. Islam pun menekankan betapa pentingnya kebersihan dalam segenap aspek kehidupan umatnya. Kebersihan pula menjurus kepada kesejahteraan dan kesihatan rakyat dan akhirnya melahirkan satu generasi yang ceria.
Sikap untuk sentiasa menjaga kebersihan bukan hanya dipelajari di rumah ataupun di sekolah tetapi yang lebih penting ialah usaha bersungguh-sungguh untuk mempraktikannya secara istiqamah.
Sebagai seorang pemimpin atau ketua keluarga kita mesti mendidik generasi muda untuk mengamalkan budaya dan nilai-nilai murni dalam memelihara kebersihan sama ada di rumah, sekolah, pejabat dan negeri ini secara keseluruhannya. Walau bagaimanapun, tugas yang lebih berat ialah untuk menunjukkan teladan yang baik kepada mereka. Kerap kali ia sukar untuk dilaksanakan dan akhirnya matlamat untuk membentuk generasi muda yang mengamalkan kebersihan sebagai satu budaya sukar dicapai kerana kita sendiri tidak menunjukkan sikap yang positif dan adakalanya kita melakukan sesuatu tugasan itu sekadar melepas batuk di tangga sahaja. Semuanya bermula dengan diri kita masing-masing.
Sehubungan dengan ini, Saya mencadangkan kepada Kerajaan Seri Paduka Ayahanda Saya supaya terus mewujudkan satu program iaitu Kebersihan Sebagai Satu Budaya. Program ini hendaklah dilakukan secara istiqamah, yakni berterusan dan konsisten.
Hadirin dan hadirat sekalian,
8. Sebelum Saya mengakhiri titah ucapan ini, Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Perlis keseluruhannya di atas segala khidmat bakti dan taat setia yang tidak berbelah bahagi.
9. Saya dan Raja Puan Muda berterima kasih kepada seluruh rakyat Perlis kerana sentiasa mendoakan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan untuk Seri Paduka Ayahanda dan Seri Paduka Bonda Saya. Semoga dengan doa ikhlas rakyat sekalian, Baginda berdua akan terus bersemayam di atas singgahsana takhta Kerajaan Negeri Perlis dengan penuh daulat dan berkat.
10. Terima kasih juga kepada semua yang hadir bagi menjayakan Majlis pada petang ini dan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis ini. Saya menyeru kepada semua agar sama-sama meneguhkan tekad dan usaha ke arah mengekal dan mempertahankan perpaduan dan keharmonian kaum dan agama demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri kita yang tercinta ini.
Saya juga menyeru agar marilah sama-sama kita hayati dan amalkan falsafah dan semangat prinsip-prinsip Rukunegara di dalam segala aspek kehidupan kita sebagai warga Perlis khasnya dan Malaysia amnya. Saya berdoa agar negeri kita yang tercinta ini akan terus dirahmati Allah Subhana Wa Ta`ala dengan nikmat kemakmuran yang berkekalan, insya-Allah.
Sekian. Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
TITAH UCAPAN PERASMIAN
MASJID AMEER FAWWAZ, SUNGAI BARU OLEH
D.Y.M.M. TUANKU PEMANGKU RAJA PERLIS
SEMPENA SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN
D.Y.M.M. TUANKU RAJA PERLIS YANG KE 63
ismillahirahmanirahim,
Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulilah Saya bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama pada malam ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan Sekalian,
Mula-mula sekali Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Menteri Besar Perlis kerana berjaya membina masjid-masjid baru dan juga membina semula masjid-masjid bagi menggantikan masjid-masjid lama di seluruh Negeri ini. Ianya adalah satu perkembangan yang amat baik dan saya berharap usaha seperti ini dapat diteruskan di masa-masa yang akan datang demi keselesaan dan kemudahan rakyat jelata untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Dato' Seri Shahidan bin Kassim kerana telah sudi menyumbangkan kewangan peribadi beliau sehingga terbinanya masjid yang bersenireka indah ini.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua anak-anak kariah masjid ini yang telah mendapat masjid baru. Saban tahun Saya datang untuk melihat anak bulan dan solat serta berbuka di masjid ini dan sekarang akhirnya tuan-tuan dan puan-puan mendapat sebuah masjid yang sungguh indah.
Tuan-tuan dan Puan-puan Sekalian,
Pada hari ini, kita melihat semua negara berusaha membawa negara dan rakyat masing-masing ke arah kemajuan. Negara kita Malaysia juga tidak terkecuali.
Sebagaimana diketahui umum, kita diiktiraf antara Negara Islam yang sedang menuju ke era Negara maju. Justeru itu, Saya berulang-ulang kali ingin memperingatkan semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama dalam usaha untuk merealisasikan wawasan tersebut. Perkara yang perlu dipelihara oleh semua pihak adalah tidak lain iaitu perpaduan, sebagaimana surah yang dibaca oleh qari kita sebentar tadi. Negara tidak mungkin maju tanpa dibina atas asas perpaduan yang kukuh. Sekali lagi juga Saya mengingatkan agar dijauhilah persengketaan sesama kita dengan menimbulkan isu-isu sindiran dan fitnah yang boleh membawa kepada kecil hati, perpecahan dan perkelahian yang merugikan semua pihak. Ianya selaras dengan tuntutan Allah s.w.t di dalam Al-Quranul Karim yang bermaksud :-
"Berpeganglah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah ."
Oleh itu, masjid adalah satu-satunya medan terbaik untuk meningkatkan hubungan silaturrahim sesama Islam dan inilah yang telah dibuktikan oleh Rasulullah s.a.w melalui pembinaan masjid dan, memakmurkannya dengan mengadakan pelbagai aktiviti seperti solat berjemaah, tempat bermuzakarah, pusat pungutan zakat, pusat ilmu dan sebagainya.
Bak kata pepatah, Biar Renggang Difana dunia, Biar Hina di Mata Manusia, Biar Semangat Semakin Tua, Biar Akal Semakin Berusia, Jangan tergadai silatulrahim antara kita sesama Islam!
Tuan-tuan dan Puan-puan Sekalian,
Dikesempatan yang baik ini, Saya juga ingin menyeru kepada muslimin dan muslimat terutamanya yang hadir pada malam ini agar mengambil perhatian kepada beberapa perkara seperti berikut:-
Pertama:
Sepertimana Saya sentiasa ulangi, dan akan terus mengulangi cubalah membudayakan amalan menjaga kebersihan dalam urusan kehidupan seharian. Ini juga meliputi penjagaan kebersihan tubuh badan, rumah tangga, kawasan halaman rumah, kebersihan masjid sebagai tempat ibadah, menjaga kebersihan surau dan tanah perkuburan. Sebagai satu cara untuk membudayakan amalan ini ianya boleh dilakukan misalnya melalui aktiviti gotong royong secara berjadual mungkin setiap 2 minggu atau sebagainya. Program gotong-royong " Mega " yang Saya titahkan empat kali setahun bersempena Awal Muharram, Hari Keputeraan Tuanku Raja, Hari Kemerdekaan dan Hari Raya Puasa adalah sebahagian daripada aktiviti berterusan yang harus diambil berat.
Kedua:
Kepada Pegawai-pegawai masjid pula khususnya imam-imam, yang Saya dapati banyak berada bersama kita malam ini hendaklah sentiasa mempertingkatkan mutu bacaan al-quran. Ayat-ayat yang dibaca mestilah dengan tajwid yang betul, lancar dan banyak hafalan yang dibuat. Usaha ke arah ini telah dibuat oleh Jabatan Agama Islam melalui kelas tahsin al-quran yang telahpun dimulakan pada tahun 2005 dan akan diterus dan dipertingkatkan lagi pada tahun ini. Sungguhpun tahap prestasi majoritinya adalah baik, namun imam-imam dan pegawai masjid hendaklah mempunyai semangat untuk membuat penambahbaikan dalam mutu bacaan al-quran demi untuk keselesaan menjalankan tugas masing-masing.
Ke tiga:
Marilah sama-sama mengalakkan anak-anak merapatkan diri dengan masjid sebagai satu cara hidup mereka. Pihak-pihak masjid juga mestilah memainkan peranan penting dalam hal tersebut dengan mengadakan pelbagai program sampingan yang boleh mengalakkan dan tidak hanya "melarang itu dan melarang ini" agar anak-anak ini sukarela hendak ke masjid, seperti menyediakan seseorang yang boleh membimbing atau melayan anak-anak ini, mengadakan program menarik untuk mereka seperti bercerita dan lain-lain. Ini bakal merangsang minat mereka untuk kerap ke masjid.
Ke empat:
Jadikan masjid ini tempat untuk menimba ilmu sebagaimana terdapat di beberapa masjid yang ada di negera ini. Kita mempunyai ramai cendiakawan Islam di dalam kawasan berdekatan dengan masjid-masjid di seluruh Perlis. Saya cadangkan setiap kawasan masjid mengambil initiatif mengumpulkan anak-anak kariahnya yang berkelayakan dan berkemampuan dan mengadakan program hujung minggu untuk anak-anak mereka. Berdasarkan kemampuan anak kariah masing-masing seperti bercerita sirah nabi dalam bahasa Inggeris, Pelajaran Sains, Matematik, Pengetahuan Am dan lain-lain. Dengan ini Perlis insyaallah mampu melahirkan lebih banyak anak-anak yang bukan saja maju dari segi keperluan duniawi, lengkap dari segi keperluan akhiratnya dan mengisi masa lapang terluang anak mudanya. Inilah salah satu resipi ke arah melahirkan umat Islam yang berjaya untuk masa depan.
Ke lima:
Adakan tempat riadah yang kondusif di kawasan-kawasan berdekatan masjid. Kawasan ini bakal dipenuhi oleh muslimin dan muslimat setiap masa. Sudah pasti bila masuk waktu solat, masjid akan dipenuhi dengan orang ramai. Janganlah sekali-kali kita berfahaman lama bahawa riadah akan menjauhkan orang ramai dari masjid.
Sebaliknya anjakkanlah paradigma dan ambillah sikap pro-aktif untuk memanfaatkannya. Penduduk-penduduk kawasan tersebut boleh bergotong royong menjaga kebersihan kawasan-kawasan berdekatan dengan masjid itu nanti.
Ke enam:
Kepada semua masjid khususnya yang besar di negara ini, jadikan masjid landasan untuk kita berdakwah kepada orang-orang bukan Islam. Banyak juga masjid-masjid kita dibuka kepada orang-orang bukan Islam terutamanya pelancong-pelancong luar negeri yang berminat dengan seni rekabentuk Islam. Malangnya, kita tidak mempunyai banyak " tour guide " yang boleh memberikan mereka maklumat tepat tentang pembinaan masjid-masjid tersebut. Dikesempatan itu mereka boleh juga menceritakan kepada pelancong-pelancong tentang asas kepercayaan agama Islam.
Ini adalah kerana kita kadang-kadang berasa sangsi apabila ada orang dari agama lain berminat melawat masjid kita dan memberi berbagai daleh mengenai larangan. Bagaimana mereka hendak mendekatkan diri dengan Islam sedangkan kita sendiri yang menyusahkannya dan tidak memberi nasihat dan bimbingan yang betul?
Umat Islam disarankan untuk menyebarkan agama Islam walaupun dengan sepotong ayat kepada orang-orang yang bukan beragama Islam. Kalau agama lain boleh menyediakan mereka-mereka yang bergelar " pemandu pelancong " untuk bercerita mengenai tempat-tempat suci, kenapa kita tidak boleh berbuat demikian? Kalau bahasa menjadi masalah, kita boleh menjemput pelajar-pelajar dari luar negeri yang belajar di instituisi berdekatan untuk membantu dalam program ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan Sekalian,
Saya amat berharap agar pegawai-pegawai masjid dan juga pengurusan masjid serta anak-anak kariah masjid ini bekerja bersama-sama dengan penuh semangat ukhuah demi untuk memakmurkan masjid ini.
Akhirnya sekali lagi Saya ingin mengucapkan tahniah dan terimakasih kepada Kerajaan Negeri, YAB Dato' Seri Shahidan bin Kassim, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, anak-anak kariah masjid ini dan semua pihak yang telah berusaha menjayakan majlis perasmian pada malam ini dan juga semua hadirin yang sudi hadir.
Insyaallah Jika hati sejernih air, Jangan biar ia keruh
Jika hati seputih awan, Jangan biar ia mendung
Jika hati seindah bulan, Hiasi ia dengan iman!
Akhirnya, dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim Saya dengan suci hati merasmikan Masjid Ameer Fawwaz, Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.
Sekian.
Wabillahi taufik Walhidayah, Wassalamlaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
|