Titah Ucapan
TITAH UCAPAN
DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA
IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
RAJA MUDA PERLIS
TUANKU CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS
DI ISTIADAT KONVOKESYEN KE- 4,
UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS
DEWAN 2020, SESI PAGI, 15 OGOS 2009
ismillahirahmanirahim,
Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,
Assalamu`alaikum warahmatullahi ta`ala wabarakatuh dan Salam Perpaduan.
Alhamdulillah, Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta`ala, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya jua, maka dapatlah kita bersama-sama pada hari ini.
Selaku Canselor, Saya mengalu-alukan kehadiran semua para hadirin.
Hadirin sekalian,
2. Pertama sekali Tahniah diucapkan kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis diatas perlantikan sebagai Pro Canselor UniMAP. Kedua Saya mengucapkan syabas kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing di UniMAP.
3. Dan Ketiga Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua ibu bapa dan waris atau penjaga para graduan, yang pastinya akan merasa bangga di atas kejayaan anak-anak atau jagaan masing-masing.
4. Di samping itu, Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berbahagia Dato’ Profesor Dr. Hassan Said yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains dan Profesor Dr. Karl Kohlhof dari negara Jerman yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Kejuruteraan.
Toth Professor,
”Sehr geehrter Herr Professor Kolhorf. Das gesamte UniMAP-team gratuliert inen hertz lich 2u inen Erfolg”. Danke Schoen.
5. Penganugerahan ini mencerminkan keprihatinan dan penghargaan universiti terhadap sumbangan besar yang telah diberikan oleh individu dalam proses pembangunan dan perkembangan ilmu sains dan kejuruteraan di UniMAP khasnya dan negara amnya.
Hadirin sekalian,
6. Pendidikan tinggi hari ini dilihat sebagai satu sektor sosial yang memainkan peranan penting dalam proses pembangunan modal insan negara. Namun demikian, pertambahan institusi-institusi pengajian tinggi atau IPT telah menimbulkan persaingan di antara mereka. Persoalan di sini ialah, adakah IPT-IPT ini telah bersedia untuk bersaing? Dari manakah tenaga pengajar dan juga para pelajar akan diperolehi?
Adakah mereka mempunyai kekuatan dan kemampuan dari segi sistem penyampaian perkhidmatan pengajaran dan pembelajaran akademik dan prasarana lain untuk berlumba?
Hadirin sekalian,
7. Dalam konteks persaingan, Saya suka menyarankan agar IPT-IPT yang ada hendaklah membina daya saing masing-masing untuk bersaing dengan sihat. Strategi yang terbaik ialah dengan mengelak diri daripada bertembungan sesama sendiri. Ini dapat dilakukan dengan mencari kelainan yang dapat membezakan diri di antara satu sama lain. Dalam proses persaingan yang sihat, janganlah ada sesiapa yang menggunakan jalan pintas atau kaedah yang tidak beretika untuk bersaing. Lihatlah apa yang telah berlaku kepada ekonomi dunia masakini. Difahamkan akibat amalan yang tidak beretikalah, beberapa syarikat konglomerat gergasi dunia juga turut ada yang tersungkur. Kita hendaklah mengambil iktibar ini dan senantiasa berhati-hati supaya amalan yang tidak beretika ini tidak menular di dalam pengurusan dan pentadbiran universiti di rantau ini. Saya lontarkan persoalan ini untuk kita sama-sama berfikir sejenak demi untuk mencari satu pendekatan yang terbaik untuk masa depan pengajian tinggi negara kita secara bersama.
Hadirin sekalian,
8. Berbalik kepada kita disini, UniMAP yang telah tujuh tahun beroperasi, turut tidak terkecuali daripada gelombang persaingan. Kekuatan UniMAP setakat ini banyak terletak kepada program, prasarana dan tenaga manusianya.
Namun demikian, dengan kelebihan yang ada padanya, kita tidak boleh sekadar bergantung kepada sumber sedia ada yang terhad untuk membina masa depan. Untuk memantap dan melestarikan kemajuan yang dimiliki, kita hendaklah sama-sama terus melipatgandakan usaha memberi keutamaan kepada misi untuk memperkasakan program akademik dan penyelidikan serta memperkukuhkan lagi identiti dan integriti menerusi kekuatan nilai teras yang kita sama-sama dukungi. Dalam usaha kita mencapai matlamat luaran dan memelihara keutamaan akademik, Saya yakin pihak pengurusan UniMAP akan terus memperkasakan lagi pelan tindakan kita supaya lebih komprehensif berserta dengan struktur organisasi yang dimantapkan sebagai pemangkin dalam proses mempercepatkan tindakbalas untuk kita menentukan matlamat luaran dan dalaman kita tercapai seperti yang termaktub di dalam misi dan visi universiti.
9. Walau apapun kedudukannya, Saya merasa amat berbangga dengan kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh semua di UniMAP setakat ini. Justeru, pada kesempatan ini, Saya ingin juga merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor dan pihak pengurusan, para pensyarah dan staf UniMAP di semua peringkat, para mahasiswa dan juga alumni serta semua pihak yang telah terlibat dalam menempa kejayaan demi kejayaan bagi universiti kesayangan dan kebanggaan kita ini. Semoga usaha gigih dan konsisten yang telah dibuktikan itu akan berterusan.
Hadirin sekalian,
10. Kepada pihak pengurusan dan staf UniMAP, Saya suka berpesan semoga semua pihak akan terus menggembleng tenaga secara berpasukan seperti sekarang di bawah kepimpinan cemerlang dan komited Dato’ Naib Canselor ke arah melaksanakan perubahan-perubahan demi kebaikan dan melonjakkan UniMAP sebagai sebuah universiti yang berkualiti, relevan, konsisten dan sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Gunakanlah pengalaman berinteraksi dalam program-program pengantarabangsaan universiti kita ini untuk terus memartabatkan lagi UniMAP. Kita hendaklah sentiasa terus bertindak secara proaktif serta berupaya untuk membuat andaian dan ramalan berdasarkan fakta, demi untuk bersiap siaga menghadapi suasana yang tidak menentu yang lebih mencabar. Kita hendaklah menjadi institusi yang dapat mengatur destinasi kita sendiri tanpa perlu bergantung kepada orang lain. Kita memerlukan cara berfikir yang sentiasa progresif dan sentiasa rela mencari kaedah baru yang terbaik untuk melakukan sesuatu. Sesungguhnya, ukuran bagi institusi yang hebat bukanlah cabaran yang dihadapinya tetapi bagaimana ia menyelesaikan cabaran-cabaran tersebut.
11. Kepada para graduan pula, Saya suka mengingatkan bahawa cabaran yang sebenar yang akan saudara-saudari hadapi di dalam hidup bukanlah di sini semata-mata, tetapi di luar sana, apabila saudara-saudari sekalian memasuki arena alam pekerjaan dan hidup bermasyarakat dan berperpaduan untuk berinteraksi dengan umum. Di sana, ilmu yang saudara-saudari pelajari menjadi pedoman, sikap menjadi dorongan dan pemikiran menjadi kata penentuan. Menerusi ilmu yang manfaat, sikap yang positif dan pemikiran yang inovatif serta kreatif, saudara-saudari hendaklah dan boleh merubah tradisi lama, daripada sekadar bekerja dengan majikan kepada usaha untuk mungkin menjadi seorang usahawan dan rakyat yang lebih produktif dan cemerlang. Saudara-saudari adalah merupakan jentera pelapis yang mampu memimpin dan mencorakkan masa depan negara. Berusaha dan bekerjalah dengan jujur, ikhlas dan amanah serta suburkanlah nama baik UniMAP, walau di mana pun saudara-saudari berada.
Hadirin sekalian,
12. Sebelum mengakhiri titah ucapan, Saya juga berharap agar saudara-saudari sekalian selaku alumni UniMAP, janganlah sesekali lupakan UniMAP. Kembalilah ke kampus untuk menabur bakti demi untuk kemajuan dan kegemilangan universiti. Jika setiap graduan mengambil sikap bertanggungjawab dengan memberi sumbangan tenaga dan buah fikiran yang bernas kepada universiti dari masa ke semasa, Saya percaya kita mampu untuk mengangkat martabat universiti dan membawanya ke tahap yang lebih terbilang.
13. Terima kasih Saya ucapkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Kerajaan Negeri Perlis dibawah kepimpinan Ketua Pentadbirannya Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada UniMAP.
14. Akhir kata, sebagai Canselor, Saya berjanji akan memberi sepenuh komitmen untuk membimbing dan menyokong UniMAP ke tahap yang lebih gemilang. Saya dan Pro Canselor berdoa, semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala akan memberkati istiadat kita pada hari ini dan memelihara perjalanan para graduan dan semua hadirin sekalian ketika pulang ke destinasi masing-masing baik jauh mahupun dekat. Insya-Allah.
Terimalah serangkap pantun buat para graduan.
Asal gula dari tebu,
Buat adunan kuih kelapa,
Keringat bapa, air mata ibu,
Jangan graduan mudah lupa.
Sekian.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Terima kasih.
|