Titah Ucapan


TITAH UCAPAN DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU RAJA MUDA PERLIS SEMPENA PELANCARAN HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA PERINGKAT NEGERI PERLIS PADA 6 MAC 2009 DI DEWAN RESIDENSI, KANGAR

ismillahirahmanirahim,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Assalamualaikum Warahmatullahita’ala Wabarakatuh dan Salam Perpaduan.

Alhamdulillah, Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah dan kurniaNya jua maka dapatlah kita bersama-sama pada pagi ini.

Hadirin sekalian,

Sebagaimana yang dimaklumkan tadi, Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran tentang pentingnya organ buah pinggang kepada manusia. Dengan meningkatnya taraf pendidikan, teknologi, sosio ekonomi serta kesedaran menjaga kesihatan rakyat Malaysia amnya dan rakyat Perlis khususnya, jangka hayat rakyat di negara ini telah meningkat. Kalau dahulu sebelum merdeka jangka hayat nenek moyang kita hanya pada purata sekitar 57 tahun, tetapi sekarang ianya telah meningkat kepada 72 tahun untuk lelaki dan 76 tahun untuk perempuan. Ia adalah satu pencapaian yang baik bagi sebuah negara yang sedang membangun. Namun begitu, dalam keghairahan kita mengejar untuk menjadi sebuah negara maju di dalam kurang daripada 11 tahun saja lagi yang mana resepinya memerlukan rakyat dan masyarakat yang sihat, berdaya saing dan bermentaliti kelas pertama, pada masa yang sama juga banyak penyakit-penyakit yang berkaitan rapat dengan cara hidup kurang sihat kita pada hari ini seperti kencing manis, darah tinggi, tahap lemak berlebihan dalam darah dan juga obesiti semakin menjadi-jadi dan telah menyumbang kepada peningkatannya juga penyakit-penyakit kronik termasuk buah pinggang.

Hadirin sekalian,

Saya rasa dengan gaya hidup kita sekarang, sekiranya tiada langkah-langkah drastik yang dibuat, maka tidak pelik kalau pada tahun 2020 kelak, cukup banyak masyarakat kita yang berusia yang terlantar sakit di hospital ataupun sekadar keluar masuk rumah sakit berbanding dengan yang benar-benar aktif untuk meneruskan misi dan agenda negara seperti yang kita war-warkan sekarang. Ini akan membebankan diri sendiri, keluarga dan negara. Kita juga harus sedar bahawa kos perubatan akan semakin meningkat dan sebagaimana negara-nagara maju lain, kerajaan yang pada masa ini amat prihatin mungkin tidak lagi akan mampu menanggung kos perubatan untuk semua. Suka atau tidak, hakikatnya ialah skim insuran akan menjadi salah satu keperluan wajib dalam menjalani kehidupan harian dimasa hadapan yang mana akan melibatkan perbelanjaan tambahan yang besar kepada semua.

Hadirin sekalian,

Statistik telah menunjukkan bahawa 57 peratus pesakit buah pinggang yang memerlukan dialisis di negara ini adalah di kalangan yang menghidap kencing manis manakala 7 peratus daripada mereka pula adalah penghidap darah tinggi. Kos rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang yang teruk adalah sangat tinggi yakni kira-kira RM 2,000 sebulan dan ianya adalah melebihi purata pendapatan sebulan rakyat Malaysia.

Oleh itu tiada jalan pintas bagi kita semua, melainkan mengamalkan sendiri dan saling ingat mengingatkan di antara satu sama lain falsafah bahawa mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Justeru itu Saya menyeru agar semua kalangan masyarakat tidak berlengah-lengah lagi untuk mengambil langkah pencegahan awal yang amat diperlukan ini. Memang benar ajal maut dan sakit demam sememangnya adalah atas ketetapan dan takdir Ilahi. Akan tetapi kita sebagai mahluk Allah subhanahuwata’ala yang dikurniakan akal dan kewarasan mestilah berikhtiar yang terbaik untuk menjaga diri kita sendiri dan salah satu cara yang termudah dan termurah ialah dengan menjalani ujian saringan seperti ujian air kencing yang mana penyakit buah pinggang akan dapat dikesan. Selain daripada itu, penyakit buah pinggang sekiranya dapat dikesan pada peringkat awal juga Insyaallah akan dapat diperlahankan dan juga diberhentikan daripada terus menjadi semakin teruk dengan mengubah tabiat hidup dan mengambil rawatan ubat-ubatan.

Hadirin sekalian,

Pada hari ini juga, saya mengambil kesempatan untuk menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Perlis agar merebut peluang untuk menjalani ujian-ujian saringan yang diadakan secara percuma ini. Saya mengucapkan tahniah kepada mereka-mereka yang amat bertanggungjawab dan telah datang dari awal pagi tadi lagi untuk mendaftar dan selepas majlis perasmian ini akan melaksanakan pemeriksaan kesihatan masing-masing. Saya juga berharap di kalangan kita yang berisiko tinggi bukan hanya menjalani ujian saringan pada hari ini tetapi terus menjalani ujian-ujian saringan dari masa ke semasa di Klinik-klinik Kesihatan yang ada di seluruh pelusuk Negeri Perlis atau program-program lain seperti pagi ini. Saya juga menyeru agar kita menyayangi buah pinggang kita dan terus mengamalkan gaya hidup sihat untuk diri kita sendiri dan juga mereka-mereka yang dikasihi dalam keluarga kita dengan mengambil inisiatif-inisiatif berikut bermula hari ini juga, iaitu dengan:-
- Mengurangkan pengambilan gula dan lemak
- Menurunkan berat badan
- Berhenti merokok
- Memastikan paras gula dan tekanan darah berada dalam tahap kawalan yang baik terutama sekali bagi pesakit kencing manis dan darah tinggi
- Beriadah dengan melakukan senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu serta
- Sentiasa meminta pandangan doktor dan tidak “pandai-pandai” menjadi “doktor sendiri” dan membeli sendiri atau mengambil apa-apa ubat-ubatan dari kedai-kedai ataupun farmasi-farmasi tanpa “priskripsi”.

Hadirin sekalian,

Akibat daripada kerosakan buah pinggang juga, semakin ramai pesakit memerlukan buah pinggang baru dan sehingga kini saya difahamkan terdapat kira-kira 15,000 orang pesakit yang sedang menunggu giliran untuk menerima organ tersebut akan tetapi pada ketika ini hanya 0.5 peratus sahaja daripada rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai penderma organ. Pada tahun 2008, terdapat hanya 21 kes pendermaan organ direkodkan.

Isu pendermaan organ dan tisu bukanlah sesuatu yang mudah bagi kaum keluarga untuk membuat keputusan terutama terhadap seseorang yang disayangi apabila dirinya meninggal dunia. Diharapkan mereka-mereka yang mendaftar diri sebagai penderma organ memaklumkan kepada kaum keluarga ketika masih hidup lagi supaya ianya akan memudahkan pihak keluarga untuk membuat keputusan kemudian kerana banyak insan yang teramat memerlukannya pada sebilang masa.

Hadirin sekalian,

Sebelum mengakhiri titah, Alhamdulillah pada hari ini pihak Baitulmal Negeri Perlis mengambil kesempatan untuk menyumbangkan lima buah mesin dialisis kepada Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi kegunaan pasakit-pesakit buah pinggang di negeri ini. Saya harap dengan pertambahan bilangan mesin dialisis ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban rakyat disamping membantu mempercepatkan tempoh menunggu bagi sesuatu kes rawatan.

Akhir kata, saya ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada Dr. Mahani binti Yusof, Pengarah Kesihatan Negeri Perlis dan Dato’ Dr. Zaki Morad daripada Yayasan Buah Pinggang Malaysia serta semua Jawatankuasa secara langsung mahupun tidak langsung yang terlibat untuk memastikan majlis berjalan dengan seberapa baik yang mungkin demi untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Saya dengan sukacitanya dengan ini merasmikan ‘Pelancaran Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri Perlis bagi tahun 2009’.

10. Sebagai contohnya, dalam prinsip Ahlus Sunnah Wal Jamaah, kita tidak boleh mengambil sumber yang tidak sahih atau kabur dalam mengamalkan agama. Ahlus Sunnah Wal Jamaah sentiasa memastikan ketulenan sumber dan maklumat agama ini. Jika kita luaskan penghayatan prinsip ini dalam kehidupan semasa bererti kita tidak boleh mengambil sumber-sumber yang tidak pasti dalam menghukum atau menilai sesuatu perkara.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahita’ala Wabarakatuh

Terima kasih.