Bismillahirrahmanirrahim, Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh dan Salam Mahabbah.
Alhamdulillah, Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat kita bersama-sama menjayakan pelancaran "Laman Web Raja Perlis" pada 9 Mei, 2003 yang lalu.
Sesungguhnya dengan terhasilnya "Laman Web Raja Perlis" ini, maklumat berkaitan institusi beraja Negeri Perlis dapat dikongsi bersama dengan seluruh masyarakat di segenap pelusuk dunia. Melaluinya, hubungan antara masyarakat dan institusi Raja Berpelembagaan Negeri Perlis dapat dirapatkan lagi. Saya sangat berbangga dengan perancangan dan usaha yang telah ditunjukkan oleh pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis dan Syarikat Digimart Computer Centre dalam membangunkan "Laman Web Raja Perlis" ini. Sesungguhnya saya difahamkan, inilah laman web rasmi pertama yang berkaitan Institusi Beraja yang dilancarkan di Malaysia. Syabas saya ucapkan.
Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini menyeru semua rakyat Negeri Perlis khususnya, dan seluruh Malaysia amnya untuk melayari laman web ini. Harapan saya agar melalui laman web ini, sedikit sebanyak hasrat kita untuk melahirkan masyarakat yang celik ICT dapat tercapai.
Semoga hubungan antara rakyat dan institusi raja berpelembagaan dapat dirapatkan lagi menerusi pembangunan laman web ini untuk sekian lamanya.
Sekian, terima kasih.
Wabilahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh
|